Riuh rendah suasana kuliah pada pagi itu. Encik Azam, pensyarah Hubungan Etnik yang sedang mengajar di hadapan juga tidak dihiraukan. Para pelajar sedang asyik bersembang antara mereka. Musfirah terasa rimas, suara-suara yang kedengaran tika itu ibarat desingan lebah yang begitu membingitkan. Tudung labuhnya dibetulkan sedikit, wajahnya diraup perlahan supaya hatinya tenang untuk belajar saat itu.
“Tolong diam, saya ada pengumuman yang penting.” Suara Encik Azam yang tiba-tiba menjerit di mikrofon mengejutkan semua pelajar di dalam dewan. Semua mata mula fokus padanya.
“Saya akan memberi tugasan pada kamu semua hari ini dan saya mahu tugasan ini di jalankan secara berpasangan. Hantar tugasan pada dua minggu akan datang.” Semua mata membulat, berpasangan? Musfirah juga terkejut. Hatinya terasa berdebar, takut dipasangkan dengan insan yang tidak dikenalinya memandangkan kelas subjek teras universiti itu merupakan gabungan dua jurusan yang berbeza, pelajar jurusan Pengajian Islam dan jurusan Kejuruteraan.
“Nur Musfirah Mukminah, jurusan Pengajian Islam.” Musfirah mengangkat tangan sebaik namanya dipanggil. “Awak akan berpasangan dengan Muhammad Irfan Fahri, jurusan Kejuruteraan, mana Irfan?” Musfirah ikut mencari Irfan. Seorang jejaka yang berpakaian kemas mengangkat tangan dan tiba-tiba menoleh ke arah Musfirah. Musfirah terkedu, dia tidak pernah membayangkan dirinya akan berpasangan dengan seorang lelaki. Kalau walid tahu, mesti dia marah, Musfirah teringat pesan ayahnya yang melarang dia bergaul dengan lelaki bukan mahramnya.
“Cik Musfirah Mukminah?”, teguran jejaka itu saat Musfirah melangkah keluar dari dewan mengejutkan Musfirah. Langkah Musfirah terhenti, wajah itu dipandang takut-takut.
“Ada apa?” Musfirah bertanya perlahan.
Irfan tersenyum. “Saya pasangan Musfirah untuk tugasan tadi, bila kita patut mulakan tugasan tu?”
Musfirah terkedu. Kekok rasanya berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya kerana Musfirah tidak pernah berkawan dengan lelaki selama ini.
“Hmm, esok, pukul 10 pagi di perpustakaan, kita berbincang. Boleh?,” Musfirah memberi cadangan. Dia terpaksa melupakan pesan walid demi menyiapkan tugasan yang diminta.
“Hmm, kalau begitu esok kita jumpa ya…” senyuman mula terbit dar bibir jejaka itu. Musfirah tunduk malu. Tak mampu lama-lama menatap wajah itu.
Musfirah khusyuk membaca buku Kisah Hidup Saidatina Khadijah, saat Irfan menyapanya di dalam perpustakaan itu.
“Assalammualaikum, maaf saya terlambat, pensyarah keluar lambat tadi.” Irfan kelihatan tergopoh-gapah, peluh kelihatan menitik di pipinya.
Musfirah terdiam. Dia mula membetulkan duduknya supaya selesa. Buku yang sedang dibacanya segera ditutup.
“Tak apa, silakan duduk.”
Musfirah terasa kekok apabila hanya berdua di salah satu sudut perpustakaan itu. Hatinya rasa tidak tenteram, rasa bersalah timbul kerana dia seolah mengingkari pesan walid. Aku lakukan ini semua kerana menuntut ilmu, Musfirah cuba menenangkan hatinya yang gundah. Irfan memulakan perbincangan. Pagi itu, mereka berbincang tentang tugasan yang perlu dilakukan dan setiap langkah yang perlu mereka ambil bagi melaksanakan tugasan terbabit.
Irfan dalam diam memerhatikan Musfirah, gadis itu lain dari gadis yang biasa dia temui. Musfirah sungguh lemah lembut, pemalu, dan sentiasa kelihatan gelisah saat mata mereka bertemu. Selama ini dia sentiasa menjadi perhatian gadis dan mereka sendiri tanpa segan silu menggodanya. Dia sendiri tidak melepaskan peluang andai ada gadis yang cuba mendekatinya dan melayan mereka dengan penuh mesra, namun semua itu sekadar berpoya-poya untuk suka-suka. Sejujurnya, dia belum bertemu dengan gadis yang betul-betul disukainya, tapi kini, hatinya seolah-olah tertarik pada gadis yang sedang duduk dihadapannya tika itu.
Hari ini genap dua minggu Irfan dan Musfirah melaksanakan tugasan bersama. Setiap detik bersama Musfirah merupakan saat yang paling dinantikan Irfan. Musfirah pula terlalu gembira. Sepanjang melaksanakan tugasan tersebut, Musfirah rasa terlalu kekok, semuanya serba tak kena, kini dia boleh menarik nafas lega. Irfan memang baik dengannya dan tidak pernah berbicara tentang perkara lain kecuali tentang tugasan tetapi itu tidak bermakna dia tidak berasa segan dengan Irfan. Saat keluar dari bilik Encik Azam setelah selesai menghantar tugasan, Musfirah tersenyum buat kali pertama pada Irfan.
“Terima kasih Irfan, sebab bekerjasama dengan saya selama ni hingga kita berjaya siapkan tugasan ni.”
Irfan terkesima. Senyuman Musfirah dirasakannya begitu manis. “Errr… saya pun nak ucapkan terima kasih.” Irfan seakan gelisah bertentang mata dengan Musfirah tika itu, dadanya berdebar-debar. Dia menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan untuk bersuara.
“Musfirah, saya sebenarnya ada sesuatu nak beritahu awak…”
“Ya, ada apa?” Musfirah tidak dapat mengagak isi hati Irfan saat it.
“Sebenarnya… sebenarnya…ish…” Irfan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Wajah jejaka itu kemerahan, bagaikan ada menyimpan rasa yang begitu berat. Sinar matanya bagikan mengharapkan sesuatu dari Musfirah.
“Sebenarnya Musfirah, saya sukakan awak…” Irfan meluahkan rasa yang terbuku. Rasa lega di hatinya saat itu.
“Apa?” Musfirah terkejut. Mukanya merah padam menahan malu. Tidak pernah terjadi dalam hidupnya ada insan yang meluahkan perasaan padanya.
“Sejak pertama kali saya melihat awak, saya rasakan ada sesuatu dalam diri awak yang tiada dalam diri perempuan lain. Pertemuan demi pertemuan antara kita telah makin mencambahkan rasa hati saya pada awak. Tanpa saya sedari, saya mulai sukakan awak. Saya harap awak boleh terima saya.” Irfan bersuara penuh pengharapan.
Musfirah terdiam, ada riak gelisah pada wajahnya.
“Maafkan saya, saya tak mungkin dapat terima awak.” Kata-kata yang tiba-tiba terbit dari mulut Musfirah bagaikan belati yang menyucuk hati Irfan saat itu.
Sejak penolakan itu, Musfirah jarang bertemu Irfan, ada beberapa kali dia melihat Irfan, tapi hanya dari jauh, Musfirah tidak punya kekuatan untuk menyapa Irfan. Mungkin Irfan sudah punya pengganti lain, dia mesti senang mencari cinta lain, Musfirah membuat telahan sendiri bagi meredakan rasa yang tidak tenteram dalam hati. Memang benar ada juga rasa suka dalam hatinya buat Irfan, tapi dia sengaja tidak melayan perasaan itu. Irfan memang seorang yang baik dan tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya, tapi dia tak mampu menerima cinta Irfan kerana dia takut Irfan bukanlah jodohnya, walid dan umminya pasti tidak suka dia berkawan dengan mana-mana lelaki, apatah lagi bercinta.
Dari kecil ummi menegaskan bahawa biarlah ibu bapa yang mencari jodoh buat anak kerana pilihan ibu bapa semestinya terbaik buat anak kerana restu mereka sentiasa mengiringi perkahwinan tersebut. Kakak Musfirah, Mazni juga berkahwin atas pilihan ummi dan walid. Musfirah tahu nasibnya juga akan sama dengan kakaknya, awal-awal lagi walid sudah sibuk mencari jodoh buatnya dari kalangan ustaz dan tahfiz, namun kerana Musfirah mahu menyambung pengajiannya, walid menangguhkan dulu hasratnya untuk mencari menantu. Tak mungkin jejaka moden seperti Irfan akan menjadi pilihan ummi dan walidnya.
Musfirah berjalan perlahan di tasik universiti, sengaja mengambil angin sebelum pulang ke kolej kediamannya. Udara petang itu sungguh segar, Musfirah mahu menghilangkan penat dan beban yang berserabut di kepalanya selepas penat menjawab soalan peperiksaan akhir semester. Tiba-tiba matanya tertancap pada insan itu, jejaka yang pernah meluahkan perasaan padanya, Irfan. Irfan kelihatan sedang duduk dengan seorang gadis. Mereka berbual mesra. Musfirah dapat merasakan ada api cemburu dalam dirinya tapi dia sedaya-upaya membuang rasa itu dengan beristighfar dan berselawat. Aku sendiri yang menafikan rasa cinta ini jadi aku harus redha, Musfirah mengingatkan dirinya.
“Musfirah!” laungan itu mengejutkan Musfirah yang sedang berjalan. Irfan tersenyum padanya dan segera menghampirinya.
“Lama kita tak jumpa, awak sihat?” lembut ucapan Irfan saat itu.
“Alhamdulillah.”
Irfan merenung Musfirah penuh harapan. Mengapa hatinya masih tak mampu melupakan gadis itu walaupun pengajiannya di universiti hampir sampai ke penghujungnya. Musfirah masih tidak berubah, masih suka berjalan sendirian. Irfan terasa seperti mahu terjun ke alam sepi gadis itu tapi dia tak mampu.
Musfirah tunduk dan diam membisu. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
“Awak, esok saya balik, peperiksaan saya dah habis. Mungkin Allah dah tentukan saya dapat bertemu awak sebelum saya keluar dari tempat ni.”
Musfirah terkedu. Tak sangka Irfan masih ada hati untuk bertemunya.
“Awak, sampai saat ini pun saya masih belum dapat lupakan perasaan saya pada awak. Saya tak sangka perasaan saya pada awak begitu besar sampailah saya cuba untuk melupakan awak. Pada saat itu saya sedar yang awak dah berada dalam hati saya yang paling dalam, susah saya nak buang awak dari hati saya.”
Musfirah terasa sendu dalam hatinya. Matanya mula berair.
“Saya tahu awak tak sukakan saya, tapi saya minta peluang dari awak, saya akan buktikan dunia saya dan awak tidak ada bezanya. Kita sama-sama saudara seIslam walaupun saya sedar saya terlalu hanyut dengan dunia. Tapi sejak saya jumpa awak, saya makin berubah. Semuanya kerana awak, Musfirah. Hati saya jadi tenang setiap kali lihat awak dan saya ingin jadi setenang awak. Minggu depan saya akan berangkat ke luar negara, sambung pelajaran saya selama 3 tahun. Saya harap dalam tempoh tu awak masih boleh tunggu saya. Saya janji saya akan berubah menjadi seorang Islam yang lebih baik, ikhlas dari lubuk hati saya. Saya harap saat itu awak akan dapat menerima saya kerana saya mencintai awak, Nur Musfirah Mukminah.”
Irfan berlalu pergi, meninggalkan Musfirah terpinga-pinga. Dia tak mampu berkata apa-apa kerana dia sendiri terpana dengan kata-kata Irfan yang terlalu lunak di halwa telinganya. Perlukah aku menunggunya? Musfirah terfikir sendiri.
Tiga tahun telah berlalu, Musfirah berfikir sendirian saat berjalan keluar dari sekolah tempatnya mengajar, kini dia sudah bergelar seorang ustazah. Janji Irfan masih terngiang di telinganya tapi dia tak pasti apakah janji itu bakal dikotakan. Mungkin Irfan akan menjadi lebih khayal dengan dunia kerana kehidupan di luar negara tentunya lebih mencabar dari di Malaysia. Musfirah sendiri tak mampu menunaikan harapan Irfan untuk menunggunya kerana kini dia sudahpun sah menjadi tunangan orang.
Ustaz Hazmi sememangnya memenuhi ciri-ciri lelaki pilihannya, alim dan berilmu pengetahuan tinggi. Walid yang ingin menjodohkan Musfirah dengan Hazmi, seorang ustaz di sebuah sekolah menengah agama. Namun hati Musfirah masih tidak mampu mencintai Hazmi kerana hatinya masih teringatkan janji Irfan. Tapi sayangnya semua sudah terlambat, pertunangan ini memang tak mampu diputuskan kerana ia juga janji antara manusia yang perlu dikotakan.
Bulan depan pernikahan Musfirah dengan Hazmi bakal berlansung. Musfirah ingin melupakan segala-galanya tentang Irfan saat ini. Sekalipun Irfan benar-benar berubah, dia tak mampu untuk mengubah hati walid dan ummi untuk menjodohkan dia dengan Irfan sedangkan janji telah diberi pada Hazmi.
“Assalammualaikum.” Ucapan salam itu mengejutkan Musfirah, yang sedang membuka pintu keretanya.
“Waalaikumussalam.” Pemilik suara yang memberi salam itu tersenyum saat Musfirah menoleh ke arahnya.
“Awak, saya dah balik.” Musfirah merenung dari bawah ke atas, jejaka di hadapannya itu begitu berlainan dari yang pernah dikenali.
“Irfan…” suara Musfirah hampir tidak kedengaran. Jejaka itu direnung lagi, wajah itu masih sama.. Tetapi wajah itu kelihatan lebih jernih dan tenang. Pakaiannya juga berbeza. Pakaian seorang lelaki muslim sejati.
Irfan merenung Musfirah, gadis yang begitu dirindui selama ini. Hilang semua kerinduan saat dapat menatap wajah mulus Musfirah saat itu. Gadis itu masih seperti dulu, pemalu, penuh adab kesopanan dan ciri-ciri muslimah sejati.
“Awak, saya datang untuk tunaikan janji saya, yang saya akan berubah. Saya nak awak menyaksikan sendiri diri saya sekarang.”
“Irfan, maafkan saya, saya dah bertunang, kita takkan dapat bersama-sama lagi.”
Irfan kelihatan terkejut, tergambar raut kekecewaan pada wajahnya. wajahnya diraup perlahan, cuba mencari seribu kekuatan.
Irfan tersenyum tawar. “Tidak mengapa Musfirah, saya mencintai awak kerana Allah, dan mungkin Allah telah menetapkan tiada jodoh antara kita. Saya terima dengan redha. Saya mendoakan kebahagiaan awak.” Bait-bait kata dari Irfan itu berbeza sekali dengan Irfan yang pernah Musfirah kenali sebelum ini, yang begitu kecewa saat ditolak. Sedangkan sekarang dia seperti redha atas semua ini.
“Terima kasih kerana memahami, Irfan.”
“Musfirah….” suara garau itu menerjah gegendang telinga Musfirah, lantas dia segera menoleh. Hazmi sedang berdiri di satu sudut berdekatan mereka.
“Hazmi…” Musfirah terkedu. Pasti Hazmi datang untuk menghadiri mesyuarat PIBG yang berlansung di sekolahnya petang itu.
“Irah, siapa ni?” Tanya Hazmi..
“Err… ini Irfan, teman seuniversiti dengan Irah dulu. Dia baru habis belajar. Irfan, ini tunang saya, Hazmi.”
“Oh, apa khabar Irfan?”
“Ana bil khair…alhamdulillah.” Irfan membalas.
“Oh saudara boleh berbahasa Arab?” Hazmi kelihatan teruja.
“Tahulah sikit-sikit, belajar masa menuntut di Mesir dulu.” Musfirah tergamam mendengar kata-kata Irfan, luar negara yang dimaksudkannya dulu rupanya Mesir.
“Owh, ana dulu pun belajar di Mesir, Universiti Al Azhar. Anta?”
“Ana belajar di Universiti Zagazig, dalam jurusan perubatan dan pada masa yang sama ana gunakan untuk lebih mendalami Islam dari rakan-rakan seuniversiti.” Kata-kata Irfan itu buatkan Musfirah faham tentang perubahan yang berlaku pada diri Irfan.
“Ok Irfan, semoga kita berjumpa lagi.” Hazmi menghulurkan salam dan disambut Irfan sebelum Hazmi berlalu pergi.
“Irah, Irfan tidak terkilan melepaskan awak pergi, kerana Hazmi memang seorang yang baik dan sesuai untuk awak. Saya doakan awak dan dia bahagia. Amin…”
Musfirah terasa sendu di hati, kata-kata dari Irfan siang tadi benar-benar meruntun jiwanya. Irfan tidak pernah tahu bahawa Musfirah juga punya perasaan padanya namun Musfirah tahu dia tak mampu untuk meluahkan isi hatinya.
“Musfirah!”, Mazni meluru ke bilik adiknya itu. Musfirah yang terkejut dengan kehadiran kakaknya itu segera memeluk erat Mazni, sudah lama Mazni tidak pulang ke rumah.
“Irah, kak dah bercerai.” Musfirah terkedu, terkejut dengan berita yang disampaikan. Dia kembali memeluk kakaknya bagi menenangkan jiwa Mazni, memang Mazni selalu menceritakan padanya soal abang iparnya, Abang Zaidi yang selalu memukulnya dan tidak memberi nafkah, baik sungguh di depan ummi dan walid tapi di belakang, menyeksa Mazni sesuka hati.
“Macam mana semua tu berlaku? Apa kata ummi dan walid?”
“Semalam dia pukul kak lagi sebab dia mintak rantai pusaka yang ummi bagi pada kakak untuk dijual, kononnya buat modal berniaga. Tapi kak tahu dia nak berikan pada isteri mudanya. Lepas dia pukul kak, kak lapor polis, malam tu jugak dia ceraikan kak kerana dia cakap kak tak sedar dek untung. Ummi dan walid dah tahu hal sebenar dan mereka redha dengan perpisahan ni. Ummi rasa bersalah sebab ummi yang suruh kak kahwin dengan Abang Zaidi, anak kenalan ummi sewaktu belajar di sekolah pondok. ”
Musfirah memandang kakaknya dengan simpati, hanya doa mampu dipohon supaya kakaknya beroleh kebahagian semula.
Musfirah menyaksikan pernikahan itu dengan penuh gembira, akhirnya kakaknya dapat menamatkan zaman jandanya dengan insan yang dicintai, Hazmi. Nasib baik Musfirah mendapat maklumat tentang perhubungan mereka di zaman pengajian dulu melalui teman kakaknya di Facebook. Hazmi sebenarnya meminang Mazni tetapi disebabkan Mazni sudah berumahtangga, walid membuat keputusan untuk menikahkan Hazmi dengan Musfirah. Musfirah lega kerana akhirnya kakaknya bahagia walaupun dia sendiri terpaksa melepaskan tunangnya. Sewaktu Musfirah meluahkan hasrat untuk putus tunang, Hazmi kelihatan kecewa tetapi setelah dijelaskan sebabnya, Hazmi menerima dengan hati yang terbuka. Memang selama ini dia masih mencintai Mazni tetapi terpaksa menerima Musfirah atas nasihat kedua orang tuanya.
“Assalammualaikum Musfirah,” nada suara itu tenang. Musfirah menoleh, Irfan sedang tersenyum di sebelahnya.
“Waalaikumussalam, macam mana awak boleh ada di sini?,” Musfirah berasa pelik kerana selepas pertemuan terdahulu dia tidak pernah berhubung dengan Irfan lagi.
“Kakak awak jemput saya, dia dah terangkan segala-galanya, termasuk isi hati awak selama ini pada saya.” Wajah Musfirah merah padam, memang selama ini pada kakaknyalah tempat dia meluahkan perasaan. Wajah kakaknya yang sedang makan beradab dipandang tajam. Mazni membalas pandangan Musfirah dengan senyuman. Itulah tanda terima kasihnya kepada Musfirah kerana telah menyatukannya dengan Hazmi semula.
“Minggu depan, saya masuk meminang awak ya?” ucap Irfan lembut.
“Meminang?”
“Ya, sebuah janji ikhlas saya buat Musfirah. Supaya Musfirah dapat menjadi suri hati hidup saya di dunia dan di akhirat. Saya mencintai awak ikhlas kerana Allah, Musfirah.”
Musfirah tersenyum bahagia. Memang Allah telah mentakdirkan dia bertemu jodoh dengan Irfan walau sejauh mana dia berlari selama ini.
“Saya jua mencintai awak ikhlas kerana Allah, Irfan Fahri.”
FAZRIN MUSTAFFA



No comments:
Post a Comment