Saturday, November 14, 2009

KERANA 1 KLIK BERTAMBAH SAHAM KITA

Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular. Pernahkah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat.

Apa yang saya akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadith Sahih berikut. :

Mahfumnya:: Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. :
“Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.”
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.

Mahfumnya: Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) 2 pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun."
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah berikut.

Fuad dan Yahoogroup

Fuad baru tamat belajar di sebuah Universiti. Kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja seharian.

Fuad mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap hari. Masa lapang Fuad diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email.

Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di dalam “emailgroup” tersebut. Sekali menghantar email, dia akan menghantar kepada “emailgroup” tersebut.

Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang diterima daripada rakan yang lain ke “emailgroup”. Di antara kandungan email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam.

Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Fuad terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali kerahmatullah di tempat kejadian.

Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.

Berganda-ganda

Untuk memudahkan kefahaman, katakan Fuad telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Fuad maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Fuad jadilah sekarang dosa Fuad 1+50 = 51.

Setiap kawan-kawan Fuad itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi, maka sekarang dosa Fuad akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Fuad menjadi 1+50+500=5551. Begitulah seterusnya.

Fuad telah meninggal dunia, email nya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang cyber hingga ke hari kiamat.

Katakan sebelum meninggal dunia, Fuad telah sempat bertaubat, insya’Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan. Tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Fuad telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak mintak ampun dengan semua yang menerima email tersebut? Selagi mereka semua tidak mengampunkan Fuad maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak.

Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita.


FAZRIN MUSTAFFA

Friday, November 6, 2009

KONSERT VS DANA MAAHAD TAHFIZ

Mengulas kenyataan akhbar arus perdana bertarikh 6 November 2009, secara peribadi saya terkejut dengan berita yang mengatakan bahawa beberapa artis negara kita akan mengadakan konsert di ibu kota dengan tujuan membantu sebuah maahad tahfiz mengutip dana bagi kegunaan maahad tersebut. Ya,memang sebelum ini pernah timbul isu sebegini. Menganjurkan konsert sambil mengumpul dana kebajikan. Kononnnya ingin beramal. Alhamdulillah ada niat baik yang terbit dari hati nurani para artis negara kita ini untuk membantu golongan yang memerlukan. Namun persoalan yang timbul adalah, adakah Islam menghalalkan cara ini? atau dalam erti kata lain adakah matlamat menghalalkan cara?
“Dan sebab lain saya terima tawaran ini adalah kerana ia berbentuk kebajikan dan niat untuk membantu sekolah tahfiz mendapatkan dana membuatkan saya rela hati untuk terbabit dalam projek ini,”kata seorang artis terkenal tanah air dengan nada teruja.
Kita menyanjung tinggi niat murni mereka untuk beramal. Ingin menambah saham peribadi sebelum menuju destinasi akhirat. Perkara ini sangat baik dan Islam amat mengalu-alukan.Namun timbul dalam benak hati dan pemikiran saya tentang soal keberkatan. Adakah berkat dana yang diperoleh daripada konsert untuk disalurkan kepada maahad tahfiz berkenaan?
Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur. Apatah lagi hendak beramal. Namun Islam punya nilai adab dan peraturannya yang tersendiri dalam melakukan sesuatu perkara. Supaya kerja buat kita diredhai dan yang paling penting diberkati. Saya bukan mahu menyalahkan para artis kita. Juga bukan sengaja mempertikai kerja buat mereka. Cuma ragu-ragu tentang cara kita pada hari ini. Adakah ianya diterima sebagai amal ibadah atau hanya sekadar menambah dosa dan maksiat kepada sang pencipta yang maha agung. Lantas kesudahnnya kita dicampakan ke dalam neraka. Nauzubillah..
Sekadar renungan kita bersama dalam meniti perjalanan dunia yang sementara. Mudah-mudah kita semua diberkatiNya..Nabi Muhammad S.A.W bersabda “ harta yang ada di tangan manusia ibarat sebuah peti besi. Dan setiap peti besi itu ada kuncinya. Nyata bahagia bagi setiap manusia yang diberikan kunci untuk melakukan kebajikan dan ditutupi pintu kejahatan. Nyata celaka bagi manusia yang diberikan kunci untuk melakukan kejahatan dan ditutupi pintu kebajikan.”

Sunday, November 1, 2009

MOTIVASIKAN DIRI DENGAN MEMANDANG SEKELILING

Sahabat-sahabat sekalian,
Sering kali tazkirah didendangkan di telinga kita,namun kita sering kali juga lupa.
Sering kali majlis ilmu kita kunjungi namun kita masih tidak berubah berbanding semalam.
Sering kali kita membaca buku agama, namun sejauh mana kita berjaya menyelami isi kandungan buku tersebut dalam kehidupan kita.
Sering kali kita mendengar nasyid dan menonton vcd berunsur agama, namun tiada mutiara berharga yang berjaya kita kutip melainkan keseronokan halwa mata dan telinga.
Ingin saya bawakan kepada sahabat sekalian suatu kata-kata daripada Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai panduan.
Berkata Syeikh Abdul Qadir Jailani :

“Jika kamu bertemu dengan orang tua, bisikkan kepada hatimu. Sesungguhnya ia orang tua, pasti pahalanya banyak bertimbun.

“Jika kamu bertemu orang muda, maka bisikkan kepada hatimu. Ia masih muda, dosanya pasti lebih kurang berbanding aku.

“Jika kamu bertemu dengan orang alim, maka bisikkan kepada hatimu. Ia orang alim, pasti ia lebih mulia berbanding aku.

“Jika kamu bertemu dengan orang jahil, maka bisikkan kepada hatimu. Ia orang jahil, ia melakukan maksiat kerana kejahilan sedangkan aku melakukan maksiat dalam keadaan aku mengetahui.

“Jika kamu bertemu pelaku maksiat, maka bisikkan kepada hatimu. Ia mungkin orang maksiat, namun aku tidak tahu apakah kesudahan penghujung hidupku. Mungkin ia mati dalam keadaan bertaubat dan taat sedangkan aku tidak tahu kesudahanku.”
Pandanglah orang disekeliling kita dengan pandangan positif. Nescaya kita akan merasakan diri kita sentiasa hina dan terlalu banyak kekurangan. Jangan sesekali perasaan sombong menguasai diri kelak kita tewas apabila diuji.

FAZRIN MUSTAFFA